Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

500 pempamer sertai sidang perniagaan, sasar 10,000 pengunjung

SHAH ALAM, 16 NOV: Invest Selangor Berhad menyasarkan 10,000 pengunjung ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 selama empat hari mulai Khamis.

Bakal disertai 500 pempamer, cabang pelaburan negeri itu mengingatkan orang ramai untuk mendaftar awal susulan kehadiran terhad selain perlu lengkap dos vaksin.

“Pempamer luar negara juga perlu mengikuti peraturan bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” kata Unit Komunikasi Korporatnya ketika dihubungi.

SIBS 2021 berlangsung antara 18 hingga 21 November secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Sidang kemuncak itu menampilkan lima pameran berlainan selain tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin sidang tersebut secara maya pada 14 hingga 17 Oktober tahun lalu dengan mengumpulkan pemain industri utama.

Acara diadakan termasuk Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.