Categories
AGENDA NASIONAL

560 anggota JPJ dijangkiti Covid-19 sejak Mac tahun lalu

KOTA BHARU, 21 NOV: Seramai 560 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangkiti Covid-19 sejak Mac tahun lepas sehingga kini, dengan 531 daripada kes berkenaan dilaporkan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ Aminurrahim Mohamed berkata lebih daripada 50 peratus kes-kes berkenaan melibatkan jangkitan semasa bekerja termasuk semasa melakukan operasi penguatkuasaan serta kontak rapat dengan pelanggan di kaunter.

“Walaupun dalam tempoh pandemik, kami tetap perlu menjalankan tugas untuk memenuhi permintaan pelanggan. Bagaimanapun kita menggesa agar masyarakat khususnya pelanggan JPJ agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sekiranya perlu melakukan urusan secara berdepan,” katanya kepada pemberita di Kampung Karang, Banggu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Badan Khairat Kematian JPJ Malaysia (BAQA) berjumlah RM10,000 kepada waris pembantu tadbir JPJ Putrajaya Siti Sarah Ismail, 24, yang meninggal dunia akibat pendarahan di dalam otak selepas sehari berkahwin, Oktober lepas. Sumbangan disampaikan kepada suami Allahyarhamah, Mohamad Amirul Akmal Aziz, 25, dan ibu Mek Limoh Ismail, 64.

Mengulas lanjut Aminurrahim berkata pihaknya turut merekodkan empat kematian akibat Covid-19 dalam kalangan anggota dan pegawainya termasuk tiga daripadanya mendapat jangkitan di tempat kerja.

Sementara itu beliau berkata setakat ini lebih 99 peratus daripada 8,700 pegawai dan anggota JPJ telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

– BERNAMA