Categories
AGENDA NASIONAL

5,865 kes sembuh Covid-19, atasi jangkitan harian

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Kes baharu Covid-19 di negara ini masih melebihi angka 5,000 dengan 5,713 kes dicatatkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak berkenaan kini adalah 2,492,343.

Bagaimanapun, statistik kes sembuh menunjukkan angka yang lebih tinggi berbanding kes harian iaitu sebanyak 5,865 menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada wabak itu adalah 2,396,244 setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan 98.4 peratus daripada 5,713 kes baharu Covid-19 merupakan pesakit Kategori Satu dan Dua manakala selebihnya adalah pesakit Kategori Tiga, Empat dan Lima.

“Kes tempatan pula merekodkan sebanyak 5,681 dengan 289 pesakit terdiri daripada bukan warganegara. Sementara, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi adalah 555 kes dengan 280 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut berkata sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti hari ini membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata negara kini merekodkan nilai 0.94 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.07 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA