Categories
AGENSI SELANGOR

60 projek baik pulih, bina kemudahan baharu sukan setiap DUN

SHAH ALAM, 28 NOV: Kira-kira 60 projek baik pulih termasuk pembinaan kemudahan baharu sukan dilaksanakan bermula tahun depan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata kerja naik taraf menggunakan peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta meliputi gelanggang futsal, bola tampar, badminton dan sepak takraw.

“Kita bersyukur dan terima sebaiknya peruntukan diberi Kerajaan Negeri memandangkan dana sedia ada tidak cukup, apatah lagi masih ada projek baik pulih yang perlu dijalankan.

“Kita akan kenal pasti kemudahan sukan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama kawasan kampung yang rosak dan memerlukan pembaikan untuk kegunaan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 40 projek penyelenggaraan kemudahan sukan dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM2 juta dengan kebanyakannya sudah siap.

“Ada beberapa projek sedang berjalan dengan jangkaan siap menjelang akhir tahun ini. Kita harap kemudahan sukan yang disediakan dimanfaatkan penduduk sebaiknya bagi mengelak kerosakan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan bagi projek membaik pulih dan membina infrastruktur sukan ditambah kepada RM4 juta tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata had anggaran kos bagi setiap DUN sehingga RM100,000 bagi tujuan itu.