Categories
AGENDA NASIONAL

65 pengunjung, seorang penjaga pusat hiburan di Melaka dikompaun

MELAKA, 14 NOV: Sebanyak 65 pengunjung warga tempatan sebuah pusat hiburan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan iaitu terlibat dalam aktiviti pusat hiburan di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 kepada penjaga pusat hiburan berkenaan dalam serbuan kira-kira 1.20 pagi semalam.

Beliau berkata serbuan berkenaan dilaksanakan pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dibantu anggota serta pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

“Kompaun dikeluarkan kerana individu berkenaan terlibat dalam aktiviti pusat hiburan yang dilarang pengoperasiannya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Mereka yang dikompaun merupakan antara 80 individu berusia 17 hingga 62 tahun yang ditahan di pusat hiburan berkenaan termasuk tujuh penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sembilan lelaki dan lima wanita warga asing turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) dan Peraturan 39 (b) akta sama.

Katanya ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua individu tersebut mendapati seorang lelaki tempatan dan empat wanita warga asing positif dadah jenis amphetamine.

– BERNAMA