Categories
AGENDA NASIONAL

86 peratus daripada 8,500 bangunan ditetap miliki sijil perakuan bomba

MELAKA, 29 NOV: Kira-kira 86 peratus daripada 8,500 bangunan di seluruh negara, ditetapkan untuk mempunyai sijil perakuan bomba (FC) meliputi bangunan kerajaan, premis industri, komersial, pusat beli-belah, hotel penginapan dan bangunan pejabat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata semua bangunan tersebut perlu diperiksa dan diuji tahap keselamatan bagi mendapatkan perakuan yang diperbaharui setiap tahun itu selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

“Bagi negeri-negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak iaitu di pusat-pusat bandar yang besar, ia mempunyai jumlah bangunan lebih banyak perlu diperiksa untuk mendapatkan perakuan FC itu.

“Bangunan tersebut seharusnya mempunyai risiko kebakaran yang melepasi tahap-tahap tertentu diklasifikasikan di bawah Akta 341 dan ia penting jika berlaku sebarang kecemasan di premis, ia boleh dicegah atau dikawal di peringkat awal selain tidak menyebabkan kerosakan atau kemudaratan yang teruk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Melaka di Kota Laksamana hari ini.

Hamdan berkata sebahagian daripada bangunan terlibat masih dalam proses pemeriksaan disebabkan kekangan sebelum ini yang menghalang pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh, ekoran sekatan pergerakan.

“Ada sesetengah pula minta ditunda pemeriksaan bagi menyelenggara dan membaiki bangunan agar dapat memenuhi syarat memiliki FC itu. Justeru, pihak bomba menasihatkan mereka yang belum mendapat sijil perakuan bomba ini agar tampil dan berbincang bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan skim takaful dan sumbangan berjumlah hampir RM194,000 kepada Noraida Che Nor iaitu balu Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas selepas melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam Oktober lepas.

Sumbangan tersebut meliputi Skim Takaful Berkelompok, Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat JBPM.

-BERNAMA