Categories
AGENDA NASIONAL

95.2 peratus penduduk dewasa lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Sebanyak 95.2 peratus atau 22,297,446 individu bagi populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow, sejumlah 97.6 peratus atau 22,865,060 individu bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.

Sementara itu 86.9 peratus atau 2,735,720 individu bagi kadar populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 79.8 peratus atau 2,512,231 individu remaja telah lengkap divaksinasi.

Dalam pada itu, 43,731 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 9,959 suntikan dos lengkap, 3,117 menerima dos pertama dan 30,655 pula mendapat suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,196,152.

Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 970,364.

– BERNAMA