Categories
AGENDA NASIONAL

98.3 peratus atau 6,137 kes baharu Covid-19 dalam kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Sebanyak 98.3 peratus atau 6,137 kes daripada jumlah keseluruhan 6,243 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada Kategori Satu dan Dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.7 peratus atau 106 kes baharu Covid-19 pula dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

“Sebanyak 543 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 279 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh Covid-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,068 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,430,122.

Beliau berkata tujuh kluster baharu dikenal pasti melibatkan dua kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster bagi kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM dan pendidikan tinggi.

“Negeri yang mencatat kluster baharu ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA