Categories
AGENDA NASIONAL

Adly calon ketua menteri jika HARAPAN menang PRN Melaka – Anwar

SHAH ALAM, 10 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mencalonkan Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka jika parti itu mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN).

Pemilihan calon Amanah itu dipersetujui sebulat suara semua rakan gabungan HARAPAN berdasarkan prestasi Adly memerintah Melaka selama 22 bulan sebelum ini, kata pengerusinya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pilihan HARAPAN berkenaan calon tunggal Ketua Menteri adalah konsisten demi mengembalikan mandat dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Naratif kita konsisten… apa sahaja langkah untuk kembalikan mandat HARAPAN, harus kita dukung.

“Maka dengan itu, muafakat dan konsensus yang dicapai oleh pimpinan ialah meneruskan komitmen sama. Insya-Allah, bila kita (HARAPAN) menang, dia (Adly) akan diangkat sebagai ketua menteri untuk teruskan agenda,” katanya dalam ucapan pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan di Melaka Tengah, Melaka hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa semua parti bekerja keras untuk memastikan kemenangan 28 calon HARAPAN yang diketengahkan dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau juga mengakui kuasa memilih pemimpin terletak di tangan rakyat sama ada mereka mahu pentadbiran yang mengamalkan prinsip tatakelola baik atau sebaliknya.

Anwar juga menjangkakan terjadi kekecohan besar sekiranya kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional yang akan mengakibatkan ketidakstabilan Melaka.

“Atas nama HARAPAN, kita memohon kerjasama dan dukungan rakan-rakan (parti) di Melaka untuk pastikan masa depan (Melaka) lebih terjamin.

“Memang saya tak nafikan permasalahan berlaku di Melaka dan politik yang sengit ini menyebabkan rakyat merasa kian sinis serta kecewa… tetapi kita harus berlaku adil,” katanya.

Adly yang juga Pengerusi HARAPAN Melaka memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Katil pada PRU-14.

Pilihan raya yang berlangsung pada 20 November ini menyaksikan Adly bakal dicabar Datuk Hasnoor Husin (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (Pas), dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas) dalam persaingan empat.