Categories
AGENDA NASIONAL

Agong perkenan proklamasi darurat Sarawak ditamatkan

SHAH ALAM, 3 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata perkenan Seri Paduka selaras Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang di-Pertua Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penamatan proklamasi darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 setelah tempoh mandat kerajaan negeri tamat pada 6 Jun.

Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan selepas menerima menghadap Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri.

Pagi ini, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat pada sesi yang berlangsung selama satu jam.

Al-Sultan Abdullah juga menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut diterima menghadap ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

“Maka, setelah menimbang permohonon Yang di-Pertua Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat perdana menteri serta peguam negara dan ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya proklamasi darurat bagi Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

“Perkenan Seri Paduka kepada penamatan proklamasi darurat adalah keputusan sukar dan rumit. Namun, diperkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

Pada 31 Julai, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan proklamasi darurat di Sarawak diteruskan hingga 2 Februari 2022 susulan ancaman pandemik, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri.

-BERNAMA