Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: 10 tempat letak kereta di Pelabuhan Klang ditenggelami air

SHAH ALAM, 5 NOV: Sebanyak 10 buah tempat letak kereta kediaman penduduk di Jalan Sekolah, Pelabuhan Klang ditenggelami air susulan fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata ruang dapur rumah penduduk terbabit turut dinaiki air paras buku lali, namun situasi terkawal.

“Saya difahamkan paras air laut Pelabuhan Klang mencecah 5.5 meter setakat jam 6 pagi tadi. Malah, Jalan Banting Pandamaran dipenuhi dengan air laut.

“Jadi, saya menyeru penduduk supaya alihkan kenderaan termasuk perabot mereka ke tempat lebih tinggi kerana air laut dijangka mencecah paras sama esok,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menggesa Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyegerakan kerja menaik taraf benteng sedia ada di kawasan Pandamaran.

“Saya nampak limpahan air laut berpunca daripada benteng yang tidak cukup tinggi. JPS baru tahu perkara ini dan mreka perlu tambah baik segera.

“Diharap semua penduduk dapat tidur lena pada masa akan datang apabila benteng tersebut dinaik taraf,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari bermula semalam di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.