Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar diramal awal Disember, penduduk pesisir pantai perlu waspada

SHAH ALAM, 8 NOV: Fenomena air pasang pada minggu lalu terkawal walaupun limpahan air berlaku di beberapa kawasan, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Hafisham Mohd Noor berkata sepanjang fenomena bermula Rabu hingga semalam, paras air laut tertinggi direkodkan mencecah 5.6 meter.

“Ada kediaman penduduk dinaiki air namun surut semula dalam tempoh masa singkat. Susulan itu tiada pembukaan mana-mana pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman, banjir dijangka berlaku sekiranya air pasang mencecah lebih tujuh meter atau kejadian ban pecah. Jadi kita bersama agensi lain akan memantau perkara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Hafisham berkata air pasang diramal berlaku lagi pada awal Disember depan dengan jangkaan paras tertinggi kurang daripada enam meter.

“Jadi kita minta penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pantai supaya mengambil maklum mengenai perkara ini, dan sentiasa waspada” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor minggu lalu melibatkan kawasan Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.