Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar: Situasi di Kuala Langat terkawal

KUALA LANGAT, 4 OKT: Fenomena air pasang besar di sepanjang pesisir pantai di Kuala Langat terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata paras air laut tertinggi direkodkan pada jam 5.21 pagi tadi dengan ketinggian 5.5 meter.

“Pemantauan bermula jam 4 pagi sehingga 9.30 pagi dan dalam tempoh itu keadaan terkawal. Kita jangka air akan mula naik menjelang lewat petang sehingga 8 malam.

“Kita tidak nafikan terdapat pengunjung yang degil dan ada yang memutuskan pita keselamatan namun ia kes terpecil dan mereka pun pulang apabila diarahkan,” kata Mazlan Abdul Manap ketika dihubungi.

Terdahulu, Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim memaklumkan masih ada pengunjung berdegil dengan sanggup memutuskan pita keselamatan dipasang di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat di sini.

Beliau berkata perbuatan memutuskan pita tersebut disedari Skuad Pantas MPKL yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Skuad ini bertindak memberi amaran lisan dan menyuraikan pengunjung di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat serta memasangnya semula selepas itu,” katanya.

Pada 30 Oktober, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Amirul Azizan berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.