Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: Tangguh rancangan ke Pantai Morib, Kelanang

SHAH ALAM, 3 NOV: Orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Kuala Langat susulan fenomena air pasang besar yang diramal esok sehingga Ahad.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata mereka yang merancang berkunjung ke dua pantai berkenaan sempena cuti Deepavali esok dan hujung minggu diminta menangguhkannya terlebih dahulu.

Hasnul Baharuddin (kanan) meninjau dan mendengar penerangan anggota APM berhubung persediaan serta pemantauan pasukan menghadapi fenomena air pasang besar. Foto Facebook Hasnul Baharuddin

“Kita bimbang air laut boleh melimpah sekiranya air pasang bertembung dengan hujan berlarutan yang membahayakan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Manakala wakil rakyat Sekinchan pula menasihatkan penduduk di lima kampung di sekitar pesisir pantai Sekinchan hingga ke Sungai Leman supaya bersedia berdepan dengan banjir.

Jelas Ng Suee Lim, penduduk terbabit diminta menyimpan dokumen penting dan peralatan rumah ke kawasan selamat bagi mengelakkannya rosak.

“Sentiasa ikuti perkembangan berkenaan fenomena air pasang besar dan bersedia berpindah sekiranya banjir melanda.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim

“Pihak berkuasa sudah menyediakan pusat pemindahan sementera jika keadaan itu berlaku,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.