Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor bantu baik pulih paip rosak kediaman penduduk B40

SHAH ALAM, 17 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuka perkhidmatan baik pulih paip air dalaman yang rosak atau bocor kepada masyarakat kurang berkemampuan (B40).

Agensi itu di Facebook memaklumkan permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://www.airselangor.com/media/sesama-mara.

“Program tanggungjawab sosial korporat Sesama Mara Air Selangor giat dilaksana termasuk turut membantu rumah kebajikan sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Air Selangor berharap dengan wujudnya program ini mampu mengelakkan pembiayaan bil air bulanan yang tinggi akibat kebocoran paip selepas meter premis pengguna,” katanya.

Sebelum ini, Air Selangor turut membaik pulih paip rosak dan bocor Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, Setia Alam.

Pengasas rumah kebajikan Sai Pandian berkata beliau amat terharu menerima bantuan itu selepas sekian lama rumah tersebut mengalami masalah kebocoran.

“Kini saya boleh menarik nafas lega kerana masalah pembaziran air tidak lagi berlaku di rumah ini,” katanya.