Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Alat pengesan dipasang di Sungai Selangor, ukur tahap kebersihan

SHAH ALAM, 26 NOV: Sekurang-kurangnya 75,402 tan metrik sampah berjaya dikutip sejak 2016 hingga September lalu menerusi alat perangkap sampah (log boom) serta pembersihan sisa terapung menggunakan jentera berat dan mesin Interceptor 002 di Sungai Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu sekali gus berjaya membantu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengutip sampah di sepanjang jajaran sungai terbabit.

“Pembinaan ‘log boom’ serta pembersihan sisa terapung melalui penggunaan jengkaut dan mesin Interceptor 002 telah berjaya membantu MPK, MBSA, MBSA, MBSJ dan MBPJ mengutip secara purata 75,402 tan metrik sampah sejak 2016 hingga September 2021 di jajaran Sungai Klang.

“Bagi mengukur tahap keberkesanan tersebut, pemasangan alat sensor di empat lokasi berperanan bagi memantau tahap kualiti air Sungai Klang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin pelbagai usaha dilakukan pada jaringan sungai pada jarak 15 kilometer (km) bagi menggalakkan industri pelancongan di pesisir Sungai Klang.

Antaranya, kata beliau perkhidmatan teksi air yang merupakan usaha Landasan Lumayan Sdn Bhd bersama pihak Tourism Selangor.

“Selain daripada itu, usaha pemuliharaan Sungai Klang digiatkan lagi ke atas bekas tapak pelupusan Telok Kapas yang merupakan salah satu penyumbang pencemaran di Sungai Klang.

“Menerusi usaha pemuliharaan semula tapak pelupusan Telok Kapas dan air Sungai Klang, Kerajaan Negeri percaya Sungai Klang berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber alternatif air mentah untuk kegunaan rakyat,” ujarnya.