Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kesal 45 peratus orang Islam jadi ahli kelab judi

SHAH ALAM, 1 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal penambahan pusat perjudian di negara ini khususnya membabitkan umat Islam.

Berdasarkan maklumat diterima ketua pembangkang, tidak kurang 62 kelab judi beroperasi dan 45 peratus daripadanya membenarkan penglibatan orang Islam.

“Jumlah penglibatan umat Islam mencecah puluhan ribu dan saya minta menteri jelaskan kerana ini sudah melanggar selain dilakukan dalam keadaan terbuka oleh kerajaan sekarang.

“Nampak seperti ada usaha melindungi fakta ini, kita hendak tahu berapa jumlah kelab, slot mesin, anggota Islam yang terlibat. Kita ada rekod daripada MySejahtera tentang orang Islam terlibat dan ramai, jangan nafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan 2022 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta Kementerian Kewangan dan pihak polis menyemak perkara tersebut.

“Ada laporan polis dan saya faham bila ada kepentingan syarikat-syarikat besar dan kaya sehingga lambat tindakan diambil,”katanya.