Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir surut, sukarelawan giat bersih rumah

SHAH ALAM, 23 NOV: Banjir kilat setinggi 0.3 meter hingga 1.5 meter sekitar Lembah Jaya, Ampang malam tadi surut selepas tiga jam, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata air mendadak naik mulai jam 7 petang akibat hujan lebat berterusan lebih tiga jam sekitar Lembah Klang.

“Air mula surut pada jam 11 malam dan penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang. Semalam merupakan antara banjir terburuk di kawasan berkenaan.

“Selain faktor hujan lebat, perparitan juga menjadi punca banjir kilat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata sejak pagi tadi pihaknya bersama agensi Kerajaan Selangor giat membersihkan rumah penduduk serta kawasan persekitaran.

Malam tadi kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat. Bagaimana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN akan memberi bantuan kecemasan serta perpindahan selain Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu kerja pembersihan.