Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu peneroka bandar miliki rumah

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM10.77 juta diperuntuk bagi membantu peneroka bandar mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman menerusi Tabung Amanah Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 itu membolehkan pembelian unit sebelum dijadikan Skim S2-OWN.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar sejak sekian lama terutamanya kegagalan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 49 projek melibatkan 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Angka ini telah melebihi sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit menjelang tahun 2023.

“Insentif ini membenarkan pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C dan Jenis D kepada satu jenis sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI,” katanya.

Beliau menjelaskan rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak lebih RM250,000 seunit itu turut dilengkapi dengan kelengkapan asas antaranya pendingin hawa, kabinet televisyen, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.