Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan kewangan, barangan asas ceriakan 200 asnaf di Hulu Langat

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 200 keluarga asnaf daerah Hulu Langat menerima bantuan kewangan serta barangan asas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 diberikan menerusi program wakalah agihan zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan setiap asnaf menerima RM500.

“Selain itu, empat keluarga asnaf turut diziarahi yang melibatkan kelulusan bantuan bina dan baik pulih rumah.

“Kegembiraan jelas terpancar dari raut wajah asnaf apabila melihat kediamannya selesa diduduki selepas dibantu oleh Zakat Selangor,” katanya.

LZS mengucapkan terima kasih atas tanggungjawab masyarakat dalam menunaikan ibadah zakat yang mana bantuan dapat sampaikan kepada golongan mustahiq.

Terdahulu, agihan zakat itu disampaikan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun di Balai Raya Kampung Sungai Raya Batu 9 Cheras.