Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air kawasan USJ 1 hingga USJ 27 disalur jam 2 pagi tadi

SHAH ALAM, 21 NOV: Bekalan air di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 yang terlibat masalah teknikal paip agihan utama Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong diagih jam 2 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 3 petang hari ini.

Tempoh masa pemulihan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bekalan air telah mula dibekalkan pada jam 2 pagi ini secara berperingkat setelah ujian kualiti air yang dijalankan di kolam tersebut memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Air Selangor amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna dan akan terus berusaha untuk memulihkan bekalan air,”kata syarikat itu di Facebook.

Maklumat terkini akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Semalam, bekalan air kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Petaling terjejas berikutan insiden penurunan paras air di Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan insiden berlaku berikutan masalah teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam berkenaan.