Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Belanjawan 2022: EXCO jangka peruntukan kesihatan awam ditambah

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri dijangka memberi fokus kepada sektor kesihatan awam dalam Belanjawan 2022.

EXCO kesihatan awam berkata pelaksanaan sektor terbabit dijangka menerima peruntukan lebih bagi menjayakan beberapa inisiatif baharu.

Dr Siti Mariah Mahmud memberi contoh, antaranya Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) akan diwujud dana untuk mereka berjumpa pakar kaunseling dan mendigitalisasikan program kesihatan Kerajaan Negeri.

“Kita juga mahu meningkatkan peranan komuniti dalam pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Jika dilihat, pandemik Covid-19 banyak mangsa adalah golongan komorbid. Kita mahu beri kesedaran awal pentingnya menjaga kesihatan dan ia adalah tanggungjawab masyarakat sendiri,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, Belanjawan 2022 juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November ini dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.