Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2022: HARAPAN putuskan untuk mengundi secara suara

SHAH ALAM, 18 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat keputusan untuk mengundi secara undi suara bagi kelulusan Belanjawan 2022 di peringkat dasar.

Presiden Majlis Presiden HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan pihaknya tidak bersetuju dalam beberapa perkara tentang belanjawan tersebut.

Beliau berkata HARAPAN telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Libat Urus Belanjawan 2022.

“Melalui sesi libat urus tersebut, wakil-wakil HARAPAN telah menyampaikan pandangan dan pendirian berhubung isu-isu dasar.

“Terdapat perkara-perkara yang dapat dipersetujui namun terdapat juga perkara-perkara yang tidak dapat dipersetujui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu turut ditandatangani Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata bagi proses kelulusan Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa bermula 22 November ini, HARAPAN akan terus memainkan peranan untuk meneliti, menyemak imbang serta memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia.

“HARAPAN menekankan keperluan meningkatkan peruntukan bagi Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia yang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Belanjawan seharusnya mewakili dan menjaga semua rakyat Malaysia berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Walaupun ada tambahan peruntukan ia masih tidak mencukupi untuk memastikan belanjawan yang adil untuk semua tidak kira kaum, agama, jantina mahupun wilayah,” katanya.

Anwar berkata walaupun HARAPAN menghargai keperluan mengawal defisit belanjawan terdapat keperluan berbelanja dengan berani untuk mengatasi pandemik serta membantu rakyat dan perniagaan supaya dapat terus hidup.

Dalam pada itu katanya peruntukan belanjawan tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion secara berhemat tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

“Oleh itu Majlis Presiden memutuskan untuk meneruskan perbincangan dengan kerajaan berhubung Belanjawan 2022 demi keadilan untuk rakyat,” katanya.