Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan #Selangor 2022: Mohon kebajikan pengusaha taska

SHAH ALAM, 20 NOV: Pengusaha taska berharap kebajikan dan keperluan berdepan pasca Covid-19 diberi perhatian dalam Belanjawan #Selangor 2022.

Presiden persatuan taska Selangor berkata hampir semua pengusaha terkesan kerana tidak dapat beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak.

“Jadi kami berharap bantuan daripada Kerajaan Negeri. Walaupun kami tidak menghasilkan produk yang nampak depan mata tetapi kami merupakan aset penting.

“Kami merupakan tapak untuk untuk melahirkan generasi cemerlang. Jadi kami harap kebajikan kami dijaga demi kepentingan masa depan,” kata Mahanom Basri kepada SelangorKini.

Beliau juga berharap Kerajaan Selangor memperbanyakkan taman dan sudut khas untuk kanak-kanak di lokasi tumpuan awam.

“Ketika persidangan antarabangsa pendidikan awal kanak-kanak pada 16 Oktober Dato’ Menteri Besar memaklumkan mahu jadikan negeri ini sebagai bandar mesra kanak-kanak. Jadi kita harap ia direalisasikan dengan penambahan insfrastruktur bersesuaian,” katanya.

Kelmarin dalam temu bual ekslusif Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sektor pendidikan menjadi fokus utama dalam Belanjawan #Selangor 2022 kerana melibatkan generasi masa depan.

Pembentangan dibuat Amirudin Jumaat ini boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).