Categories
ADN SELANGOR

Bersih parit di Tanjung Sepat, elak banjir kilat bertambah buruk

TANJUNG SEPAT, 1 NOV: Proses pembersihan parit dilakukan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat sebagai persediaan kejadian banjir kilat bertambah buruk.

Ahli Dewan Negerinya Borhan Aman Shah berkata tindakan membersihkan parit itu dilakukan baru-baru ini supaya pengaliran air ke laut lebih lancar.

“Bagaimanapun masyarakat dinasihatkan terus mematuhi arahan iaitu tidak menghampiri pantai kerana bimbang sekiranya berlaku kemalangan.

“Biarpun keadaan agak tenang tetapi arahan sudah dikeluarkan dan lebih baik kita berjaga-jaga,” katanya kepada SelangorKini.

Sabtu lalu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula pada 3 hingga 7 November ini.

Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Susulan itu, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.