Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Biasiswa khas bantu lebih ramai wanita lanjut pengajian ke menara gading

SHAH ALAM, 28 NOV: Biasiswa khas untuk wanita yang diumum menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2022 dapat membantu ramai golongan itu melanjutkan pengajian ke menara gading.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata usaha itu merupakan langkah bijak Kerajaan Negeri memastikan wanita juga tidak ketinggalan untuk mengejar cita-cita.

“Kita sedia maklum menyambung pengajian di universiti swasta yurannya agak mahal tetapi kali ini Kerajaan Selangor mengambil inisiatif mahu menaja dengan menyediakan biasiswa khas kepada wanita.

“Saya berharap ramai kaum hawa merebut peluang itu dan apabila tamat belajar kelak mereka juga boleh menyumbang segala ilmu yang dipelajari kepada masyarakat,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat akan diperkenal di bawah Wanita Berdaya Selangor dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menyediakan biasiswa kepada wanita yang terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang.

“Biasiswa ini dilaksanakan dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor yang terpilih dan berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan,” katanya.