Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Biasiswa khas bantu wanita sambung pengajian

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM5.03 juta diperuntuk untuk Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi memperkasa wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan turut digunakan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Akademi Kepimpinan Wanita untuk melatih kepemimpinan akar umbi.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen tinggi bagi menggalakkan penglibatan wanita di dalam pelbagai bidang di negeri ini dengan penubuhan sebuah anak syarikat khusus berkaitan wanita iaitu Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 6 Januari 2021 di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan),” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Katanya, program Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan peruntukan RM200,000 setahun diperkenal supaya golongan wanita berpeluang menyambung pelajaran.

Amirudin berkata pemberian biasiswa dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) itu khusus untuk wanita Selangor terpilih.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM200,000 bagi meneruskan talian hotline khas Keganasan Domestik Talian (SELamat) yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Selangor 2.0.

Dana berkenaan juga diguna bagi menjalin kerjasama dan membantu pusat perlindungan wanita terlibat dengan kes keganasan domestik.