Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Selangor sedia hadapi perubahan monsun, tingkat latihan menyelamat

SHAH ALAM, 19 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor siap siaga menghadapi peralihan Monsun Timur Laut termasuk memastikan kemahiran menyelamat dalam air anggota dipertingkat.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata latihan berkenaan penting bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ketika melaksana tugas menyelamat.

“Latihan menyelamat mangsa dalam pelbagai situasi ini juga penting kepada anggota bagi mengelak kejadian tidak diingini kepada mereka ketika sedang bertugas.

“Bagi memastikan anggota dan pegawai mencukupi sepanjang tempoh berkenaan hanya 10 peratus dari 1,600 warga bomba Selangor dibenarkan bercuti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jentera seperti bot diselenggara sebaiknya selain peralatan menyelamat sentiasa dipantau bagi memastikan dalam keadaan sedia digunakan jika berlaku kecemasan.

Kelmarin, penduduk negeri ini dinasihat bersedia terhadap insiden banjir kilat dan tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut antara bulan ini hingga Mac tahun depan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri turut mengingatkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri mengarahkan semua pihak terlibat membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir, banjir kilat, tanah runtuh, ribut dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.