Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba temui mayat kanak-kanak dengan kesan gigitan buaya

LAHAD DATU, 7 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Bakau Lama di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mayat Ibrahim Tolento, 10, ditemukan penduduk kampung terapung kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian di sungai berkenaan pada 6.41 pagi.

“Mayat ditemukan dengan kesan gigitan di kaki kiri dan pinggang, dipercayai akibat diserang buaya, namun mayat itu masih dalam keadaan sempurna, dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya beliau difahamkan dalam kejadian sekitar tengah hari semalam, arwah bersama dua rakannya sedang mencari udang di bawah rumahnya untuk dijadikan umpan memancing, apabila mereka tiba-tiba diserang buaya.

“Rumah Ibrahim terletak di atas air, difahamkan mulanya dia dapat melepaskan diri, namun buaya itu menyerang sekali lagi sebelum dia ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

-BERNAMA