Categories
EXCO SELANGOR

Dana bantuan basmi kemiskinan naik kepada RM10,000 setiap penerima

BANGI, 11 NOV: Peruntukan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan meningkat kepada RM10,000 bagi setiap penerima bermula tahun depan.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata peruntukan asal bantuan RM5,000 itu dinaikkan susulan berlaku kenaikan harga peralatan atau mesin di pasaran.

“Saya telah membawa perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Oktober lalu dan cadangan tersebut dipersetujui.

“Jumlah penerima mungkin akan berkurangan tetapi perkara ini perlu kerana harga peralatan semakin meningkat,” kata V Ganabatirau.

Beliau ditemui selepas program penyerahan sumbangan mesin jahit tepi kepada penerima Nur Faralia Mohammad Hafiz di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Tambah Ganabatirau, setiap penerima bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dipantau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pejabat penghulu.

“Pemeriksaan dilakukan secara rambang supaya memastikan peralatan diberi digunakan sebaik mungkin agar dapat menjana pendapatan,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.