Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan rakyat lulus Bajet 2022 peringkat dasar

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu, yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan.

Terdapat beberapa ahli parlimen bangun meminta undian belah bahagian dilakukan tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun apabila bilangan yang berdiri kurang daripada 15 ahli parlimen.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan Bajet 2022 bagi Kementerian Kewangan, yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan.

Bajet 2022 yang dibentang Tengku Zafrul di Parlimen pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Rang undang-undang itu dibahas selama tujuh hari mulai 1 Nov oleh 131 ahli parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh 31 kementerian selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadual selama 13 hari bermula 22 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin .

-BERNAMA