Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Taman Templer peruntuk RM50,000 bagi bantuan awal sekolah

SELAYANG, 14 NOV: Sejumlah RM50,000 diperuntuk Dewan Undangan Negeri  (DUN) Taman Templer bagi membantu keluarga berpendapatan rendah sempena pembukaan sekolah tahun hadapan.

Wakil rakyat Mohd Sany Hamzan berkata jumlah itu meningkat berbanding RM30,000 yang dibelanjakan untuk program kembali ke sekolah sebelum pendemik Covid-19 melanda.

“Akibat wabak ramai penduduk terkesan hingga menjejaskan pendapatan. Jadi kita akan cuba bantu sebaik mungkin keluarga terkesan terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah.

“Bantuan diagih bermula awal Disember ini. Kita akan bantu penerima membeli keperluan sekolah termasuk pakaian dan alat tulis,”katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah hari ini.

Sebelum ini EXCO Kerajaan Selangor Ng Sze Han menggalakkan bantuan perubatan dan keperluan sekolah diberi kepada penduduk bagi meringankan beban.

Jelasnya inisiatif itu penting memandangkan sesi persekolahan sudah bermula selain permintaan untuk bakul makanan sudah semakin berkurang.