Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekspo Selangor jadi medan Top Glove perkenal produk baharu

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Top Glove Sdn Bhd (Top Glove) memanfaatkan penganjuran Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) (Medik) 2021 untuk memperkenalkan produk terbaharunya selain sarung tangan.

Pengurus Besar Kanan Pemasarannya Johnny Loy berkata Top Glove tampil dengan beberapa produk baharu seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, pencuci pinggan dan syampu.

“Semua produk baharu yang kita kategori sebagai bukan sarung tangan sudah berada di pasaran bermula penghujung tahun lalu.

“Kita menggunakan peluang diberikan Kerajaan Negeri ini untuk menguar-uarkan produk terbaharu ini kepada pengunjung terutama untuk dipasarkan dalam Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah beliau, pasaran tempatan juga memainkan peranan penting selain antarabangsa untuk tambah nilai syarikat.

“Sebelum tembusi antarabangsa, pasaran tempatan perlu kenal produk kita terlebih dahulu seperti sarung tangan yang kini menguasai 26 peratus pasaran dunia.

“Top Glove berharap penyertaan dalam ekspo ini dapat membantu pasaran produk terbaharu syarikat seperti pelitup muka yang sudah memasuki Turki baru-baru ini,” katanya.

SIE (Medik) 2021 merupakan acara baharu yang diperkenalkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 18 November.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor, Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021 dan Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) 2021.