Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO cadang tempatkan busker di kawasan pelancongan negeri

SHAH ALAM, 3 NOV: Cadangan menempatkan pemuzik jalanan atau busker di kawasan pelancongan sedang dibincangkan negeri bersama Tourism Selangor.

Langkah itu bagi membantu golongan berkenaan yang terkesan akibat Covid-19 menjana semula pendapatan, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

“Perbincangan masih dijalankan dan mungkin buskers ditempatkan di kawasan pelancongan awal tahun depan,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM250,000 bagi membantu pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri yang terjejas akibat pandemik.

Usaha melalui Kita Buskers Selangor dimulakan dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan pada 15 Ogos.

Seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui projek tersebut dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.