Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Waspada memandu di habitat tapir, patuh tanda amaran

SHAH ALAM, 21 NOV: Orang ramai dinasihat lebih berwaspada memandu berhampiran kawasan habitat tapir seperti hutan bagi mengelakkan haiwan dilindungi itu mati dilanggar.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kejadian tapir menjadi mangsa kemalangan jalan raya masih berlaku walaupun pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran di lokasi tertentu.

Menurutnya, kejadian terbaharu pada 12 November lalu apabila bangkai seekor tapir ditemui di tepi jalan di Parit 9, Jalan Ban Canal – Sekinchan, Kuala Selangor.

Jelasnya, siasatan mendapati tapir betina seberat 340 kilogram itu dipercayai sesat dari Hutan Simpan Sungai Karang dan mati akibat dilanggar kenderaan.

“Sudah tentu sedih melihat kejadian itu, orang ramai boleh bantu dengan lebih berhati-hati memandu di kawasan habitat hidupan liar seperti tapir.

“Kita cuba melindunginya bagi mengelakkannya pupus lama-kelamaan,” katanya di sini, hari ini.

Pada 27 April lalu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memaklumkan trend peningkatan kematian Tapir Malaya akibat kemalangan jalan raya di negara ini semakin membimbangkan dengan 92 ekor spesies itu dilaporkan mati sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

Hidupan liar itu menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.