Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fenomena air pasang besar: 11 kawasan berisiko banjir di Klang

KLANG, 2 NOV: Sebelas kawasan sekitar daerah ini berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut dijangka bermula 4 hingga 7 November.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang memaklumkan kawasan terbabit di Kampung Tok Muda; Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang.

Kampung Sungai Serdang; Ban Sementa, Ban Sungai Keramat; Kampung Perepat; Pelabuhan Utara; Telok Gong dan Pulau Ketam.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) Mohd Shahrizal Mohd Salleh bercakap kepada media selepas meninjau pintu air Pandamaran 12, Klang pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Mohd Shahrizal Mohd Salleh penduduk di kawasan terbabit diminta berhati-hati dan bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“JBPD Klang turut mengaktifkan pasukan tinjauan di lokasi berisiko diketuai pasukan bomba sepanjang tempoh fenomena air pasang besar,” katanya selepas melawat pintu air Pandamaran 12 di sini, hari ini.

Mohd Shahrizal berkata mengikut ramalan pada 4 November fenomena berkenaan dijangka berlaku jam 5.21 pagi manakala 6.02 pagi pada keesokannya, 6.40 pagi pada 6 November dan 7.18 pagi pada 7 November.

“Paras air dijangka boleh mencecah sehingga 5.6 meter sepanjang tempoh itu,” katanya.