Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Galeri seni moden bukti Selangor hargai karya penggiat seni

SHAH ALAM, 27 NOV: Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA) yang bakal diwujudkan tahun hadapan membuktikan Kerajaan Negeri menghargai karya penggiat seni, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah menjelaskan galeri tersebut memang sepatutnya ada seterusnya melengkapkan sebahagian kitaran industri kebudayaan yang sedia ada iaitu muzium sejarah, tekstil dan setem.

“Biar pun ekonomi tidak memberangsangkan akibat Covid-19, saya lihat Selangor masih lagi menjaga kepentingan kebudayaan dan memelihara karya seni di Malaysia.

“Malah, peruntukan mempelbagaikan aktiviti program kebudayaan juga adalah penghargaan kepada penggiat seni dan budaya,” katanya..

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat juga menyifatkan belanjawan pada kali ini seimbang kerana memanfaatkan semua golongan termasuk anak muda.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri bakal mewujdukan SAMA di Selangor.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri setuju membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandar raya Shah Alam berharga RM33.4 juta untuk dijadikan galeri itu yang mempamerkan karya seni dan menjadi pusat aktiviti kebudayaan.