Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 1,000 dos Vaksin Selangor untuk penduduk Bandar Utama esok

PETALING JAYA, 5 NOV: Hampir 1,000 dos vaksin Covid-19 disediakan bagi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama esok.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata selain remaja keutamaan pemberian pelalian kepada penduduk kawasan Bandar Utama dan warga Selangor khususnya.

“Orang ramai yang masih belum menerima vaksin boleh membuat pra-pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita harap pengambilan vaksin ini dapat tingkatkan imuniti kelompok dan memberi perlindungan kepada diri sendiri juga orang sekeliling,” katanya selepas membuat tinjauan naik taraf fasiliti padang SS20/5, Damansara Kim di sini hari ini.

Menurut Jamaliah lebih 250 pendaftaran sudah diterima setakat ini terutama kalangan golongan remaja.

Program akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Komuniti Bandar Utama 3.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.