Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hijrah Selangor seru usahawan rebut peluang pulih perniagaan

SHAH ALAM, 29 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyeru masyarakat atau usahawan merebut manfaat yang diumum menerusi Belanjawan #Selangor2022 untuk memulihkan kembali perniagaan.

Pengarah Eksekutifnya berkata pengumuman itu sedikit sebanyak memberi impak kewangan kepada agensi terbabit terutama penurunan caj khidmat daripada lapan kepada empat peratus.

Menurut Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor, perkara itu masih dapat dikawal dan diatasi dengan perancangan rapi daripada pengurusan Hijrah dan sokongan kuat daripada Kerajaan Negeri.

“Kami menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung penambahbaikan skim Hijrah demi membantu rakyat.

“Dengan inisiatif disediakan ini penduduk Selangor secara tidak langsung dapat menikmati caj khidmat yang rendah dan dapat menjalankan perniagaan tahun depan dengan sebaiknya,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Suparadi juga berhasrat mewujudkan Dataran Hijrah di setiap Dewan Undangan Negeri yang akan memberi manfaat kepada usahawan menerusi platform dan prasarana berstrategi, berstruktur serta sistem sokongan komprehensif.

Berikut penambahbaikan yang akan dilaksana Hijrah tahun depan:

  • Peruntukan RM120 juta bagi pembiayaan kepada usahawan
  • Skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi meningkatkan perniagaan ke tahap Industri Kecil Sederhana (IKS) dengan tawaran pembiayaan sehingga RM100,000. Sasaran awal pembiayaan melibatkan RM10 juta
  • Mewujudkan Skim Pembiayaan i-Agro yang memberi fokus kepada 2,000 usahawan tani dengan jumlah pembiayaan maksimum RM26,000. Sasaran pelaksanaan skim berjumlah RM52 juta
  • Mewujudkan Dataran Hijrah yang menjadi pusat perniagaan berpusat untuk semua perkhidmatan
  • Meningkatkan jumlah minimum pinjaman dari RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
  • Mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM 30,000 ke bawah
  • Membatalkan syarat wajib peminjam mempunyai 25 peratus dari jumlah pinjaman dalam akaun