Categories
AGENDA NASIONAL

IDE: Tiada parti selesa untuk menang PRN Melaka

SHAH ALAM, 11 NOV: Tiada parti berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata pengerusi eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE).

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata sekatan terhadap aktiviti ceramah dan kempen secara fizikal menyukarkan badan pemikir itu membuat ramalan parti yang berpotensi menang pilihan raya tersebut.

“Kita melihat polarisasi cukup jelas…sehingga saat ini, sukar ramalkan siapa dan parti mana ada kelebihan. Kita harap akan nampak indikator siapa yang berada dalam keadaan lebih baik menjelang minggu kedua (selepas penamaan calon).

“Jadi, sehingga peringkat ini tiada parti boleh dakwa (mereka) dalam keadaan selesa untuk menang pilihan raya atau kerusi ditandingi kerana sekatan ini tak memungkinkan kita menganalisis secara objektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRN Melaka: Suatu Analisis Awal yang disiarkan secara langsung melalui Facebook IDE semalam.

Dr Mohammad Redzuan berkata rakyat Melaka hanya akan memerhati keadaan yang berlaku di negeri berkenaan dalam tempoh seminggu selepas penamaan calon sebelum menunjukkan sikap pada minggu kedua.

“Kita sudah melalui proses penamaan calon pada Isnin (8 November), ini bermakna masih terlalu awal. Dalam tempoh seminggu ini amat penting bagi parti politik untuk beri kesedaran kepada rakyat.

“Saya juga yakin rakyat tidak bersetuju dengan sekatan kempen fizikal sedangkan aktiviti lain dibenarkan. Cuma yang baiknya, rakyat tidak suarakan secara terbuka dan sekadar mendiamkan diri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.