Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Inisiatif guaman ringan beban rakyat tuntut keadilan

SHAH ALAM, 29 NOV: Dana Bantuan Guaman yang diumum menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022 bukti Kerajaan Negeri prihatin nasib rakyat.

Suri rumah Nurul Asyekin Ismail, 34, berkata inisiatif itu membuka ruang kepada golongan teraniaya yang kurang mampu untuk mendapat keadilan.

“Ada segelintir masyarakat mungkin perlukan bantuan guaman untuk menegakkan hak mereka tetapi tidak mampu untuk bayar kos perkhidmatan itu kerana mahal.

“Apabila Kerajaan Selangor wujudkan dana ini ia memudahkan golongan kurang berkemampuan itu untuk mendapat khidmat guaman,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Seorang penjawat awam, Hafizah Husin, 34, pula mencadangkan agar inisiatif itu diuar-uarkan dengan lebih meluas agar lebih ramai tahu berhubung perkara itu.

“Inisiatif ini bagus tetapi diharapkan maklumat berkaitan cara permohonan dapat diperjelaskan lagi kepada golongan sasar kerana ada yang tidak tahu bagaimana untuk mendapat khidmat guaman,” katanya.

Melalui Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Dana Bantuan Guaman Selangor sebanyak RM1 juta dengan kerjasama daripada Selangor Bar Council dan Selangor Legal Aid Centre.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif baharu itu membantu golongan kurang berkemampuan yang ditindas dan teraniaya mendapatkan bantuan guaman.

“Antara isu dibantu dari aspek guaman adalah keganasan domestik dan kehilangan pekerjaan kepada rakyat Selangor dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan,” katanya.