Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu pajak Ladang Tennamaram selesai, peneroka diberi peluang usaha tanah

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 96.4 ekar (39.01 hektar) yang diberikan kepada dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Trilion Project Sdn Bhd akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian serta penternakan.

Beliau menjelaskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan memajak tanah itu selama 21 tahun dan perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

“Rundingan antara PKPS dan kesemua kumpulan peneroka yang berminat mencapai kata sepakat bahawa peneroka bersetuju untuk mendaftar sebagai pemajak melalui perbadanan ini.

“Saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan semua pihak dalam usaha mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian ini,” katanya pada sidang media di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Amirudin menambah keputusan dicapai itu sekali gus menyelesaikan isu peneroka haram di tanah PKPS seluas 795.76 ekar (322.03 hektar) di kawasan sama.

“Justeru, jumlah keseluruhan pertikaian tanah antara peneroka berjaya diselesaikan di Ladang Tennamaran berjumlah 892.16 ekar (361.04 hektar),” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairul berkata pihaknya mengenal pasti kawasan gantian pajakan kepada dua syarikat berkenaan berhampiran Serendah, Hulu Selangor.

“Kita tidak mahu berlaku isu implikasi perundangan jika tiada tempat untuk dipindahkan syarikat terbabit bagi melaksanakan aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Isu berkaitan pertikaian pajakan tanah dibangkitkan pada awal April lalu apabila peneroka Ladang Tennamaram mengadakan protes berhubung pajakan kepada dua syarikat swasta bagi menjalankan kerja di ladang tersebut.

Mereka mendakwa Kerajaan Negeri tidak mengadakan perbincangan dengan peneroka sebelum memberikan pajakan di kawasan yang dibuka dan diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu.

Pada 3 Mei, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan terdiri daripada lima anggota termasuk unit integriti dan bahagian audit dalaman pejabat SUK.