Categories
AGENDA NASIONAL

Jangka hayat baharu dua vaksin Covid-19 diluluskan

SHAH ALAM, 16 NOV: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan jangka hayat baharu vaksin Comirnaty dan CoronaVac bagi tempoh tiga dan enam bulan lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata keputusan dibuat selepas mendapat permohonan variasi daripada Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan pengilang,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kelulusan lanjutan jangka hayat itu turut terpakai kepada semua stok secara retrospektif sebelum permohonan variasi tersebut diluluskan.

Jelas Dr Noor Hisham, pengilang diberi masa enam bulan untuk mengemas kini tarikh luput yang dicetak pada label bebuli untuk produk vaksin yang akan dikilangkan.

“Jangka hayat stok vaksin yang masih berada dalam stok Kementerian Kesihatan Malaysia akan dilanjutkan selain terpakai kepada stok yang akan diterima dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Berikut vaksin Covid-19 yang mempunyai tempoh jangka hayat baharu:

Bil Vaksin Pengilang Tempoh Jangka Hayat Baru yang Diluluskan
  1.   CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero cell), Inactivated (MAL21046125ACSZ)   Bagi kedua-dua pek saiz (1dos/vial dan 2 dos/vial)   Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd, MALAYSIA Tambahan 6 bulan daripada tarikh asal yang DICETAK PADA LABEL VIAL. Pelanjutan jangka hayat daripada 6 bulan kepada 12 bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu 2°C – 8°C.
2. COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21016022AZ)   Pfizer Manufacturing Belgium NV, BELGIUM Tambahan 3 bulan daripada tarikh asal yang DICETAK PADA LABEL VIAL. Pelanjutan jangka hayat daripada 6 bulan kepada 9 bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu -90°C sehingga -60°C.
3. COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21036039ASZ) BioNTech Manufacturing GmbH, GERMANY Tambahan 3 bulan daripada tarikh asal yang DICETAK PADA LABEL VIAL. Pelanjutan jangka hayat daripada 6 bulan kepada 9 bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu -90°C sehingga -60°C.

*Sumber: Laman web kpkesihatan.com