Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus berkurang

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kedah setakat pukul 8 pagi ini semakin berkurangan apabila angka itu menurun kepada 681 orang daripada 177 keluarga, berbanding 797 mangsa daripada 212 keluarga pada petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di daerah Kota Setar dan Pendang.

“Seramai 400 mangsa daripada 103 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Hikmah, SK Convent, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dan SMK Simpang Kuala.

“Dua lagi PPS di daerah Kota Setar iaitu SK Langgar dan SK Suka Menanti yang dibuka pada 31 Oktober dan 1 November lalu masih aktif, walaupun tiada mangsa ditempatkan di situ selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Ia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku banjir lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Muaz berkata di daerah Pendang seramai 281 mangsa daripada 74 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih.

“Berlaku banjir juga di daerah Kuala Muda berikutan fenomena air pasang, tetapi sehingga kini tiada PPS yang dibuka manakala beberapa kawasan di daerah Bandar Baharu juga turut mengalami banjir kilat dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini,” katanya.

Di Perak, fenomena air pasang besar telah menyebabkan kawasan Lorong Kedah Kampung Changkat Jong di Teluk Intan dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 1 pagi dan mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi, pihak kami mendapati terdapat sebuah rumah terdiri daripada lapan penghuni iaitu tiga lelaki dan lima perempuan memohon bantuan untuk dipindahkan ke Dewan Changkat Jong berikutan paras air semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak memaklumkan fenomena air pasang besar yang berlaku di pesisir Sungai Perak di Teluk Intan, bermula kira-kira 4.30 pagi tadi tidak menyebabkan ada penduduk sekitarnya yang dipindahkan dan air mulai surut pada pukul 7 pagi.

– BERNAMA