Categories
AGENDA NASIONAL

Juruterbang cedera stabil selepas pembedahan, TUDM urus rawatan sebaiknya

SHAH ALAM, 19 NOV: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam kejadian pesawat pejuang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang Selasa lalu, selamat menjalani pembedahan.

Markas TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Fareez yang mengalami kecederaan tulang belakang kini stabil selepas pembedahan di Hospital Seberang Jaya pada Rabu, lapor Astro Awani.

“Beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan sedar serta stabil. Mohd Fareez kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.

“TUDM akan memastikan urusan rawatan perubatan Mohd Fareez diuruskan dengan sebaik-baiknya,” kata kenyataan itu hari ini.

Susulan insiden berkenaan, TUDM telah menubuhkan lembaga siasatan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan Pesawat Hawk 108.

Markas Tentera Udara juga meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih berkenaan tragedi serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mohd Fareez.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa lalu, Pesawat Hawk 108 yang dikendalikan Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

Insiden itu menyebabkan Mohamad Affendi terkorban manakala Mohd Fareez mengalami kecederaan. Kejadian berlaku ketika juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.