Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar boleh jangkit Covid-19 meningkat semula, KKM pantau hospital seluruh negara

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya semalam turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak Covid-19, agar mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter beliau menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (Kementerian Kesihatan) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baharu Covid-19 dicatatkan Khamis.

Sebelum itu, kes harian Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehinggga semalam.

– BERNAMA