Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM gerakkan 12 lori bersih kawasan banjir kilat

SHAH ALAM, 24 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) menggerakkan 12 lori arm roll sekitar Ampang bagi membersihkan kawasan yang dilanda banjir kilat Isnin lalu.

Lori berkenaan digerakkan semalam bersama 12 pegawai dan 12 subkontraktor untuk mengutip sampah pukal antaranya perabot, kata EXCO kerajaan tempatan.

“Mangsa banjir diminta bertenang dan menjaga kebersihan. Kita minta sampah pukal diletakkan di kawasan luar rumah supaya kutipan berjalan lancar,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut menghulur bantuan logistik, menyediakan pusat pemindahan sementara, membekalkan air bersih, menjaga keselamatan dan mengalihkan pokok tumbang.

Selain Ampang, daerah Gombak dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melebihi tiga jam di Lembah Klang kelmarin.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan, KDEBWM bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggerakkan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu mangsa membersihkan rumah dan persekitaran.