Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor: Hormati konsensus, usah tuding jari kepada individu

SHAH ALAM, 23 NOV: Para pemimpin HARAPAN digesa menghormati semangat konsensus dan perpaduan dalam parti, tegas Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Justeru Halimey Abu Bakar berkata tindakan menuding jari terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesaknya meletakkan jawatan atas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Keputusan PRN Melaka sememangnya memberi tamparan hebat kepada HARAPAN namun setiap keputusan yang telah dibuat adalah berdasarkan konsensus bersama kesemua pimpinan dan bukannya keputusan individu.

“Jadi adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam HARAPAN untuk menuding jari terhadap ketua pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau,” bidas Halimey dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen dari DAP yang mendesak Anwar meletakkan jawatan ketua pembangkang ekoran kekalahan HARAPAN dalam PRN Melaka pada 20 November lalu.

Dalam PRN itu, HARAPAN memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Barisan Nasional pula menguasai 21 kerusi DUN sekali gus membolehkan ia kembali memerintah manakala Perikatan Nasional hanya menang dua kerusi.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata HARAPAN perlu melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda selain menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Pesanan ikhlas buat semua pimpinan dalam HARAPAN agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cabang KEADILAN Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, adalah tidak wajar untuk meletakkan kegagalan di bahu Anwar seorang sahaja.

“Para pemimpin HARAPAN di setiap peringkat digesa berhenti menunding jari antara satu sama lain. Rapatkan saf dan kekalkan muafakat serta perpaduan dalam parti.

“Kami berikar untuk terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku Pengerusi HARAPAN,” tegas beliau.

Katanya, sebagai sebuah gabungan politik, setiap kemenangan mahupun kekalahan perlulah diletakkan di bawah tanggungjawab bersama.

Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Tanjong Karang mengingatkan bahawa Anwar hampir setiap hari turun ke Melaka berkempen walaupun mempunyai kekangan tugas sebagai ketua pembangkang.

“Adalah tidak adil apabila HARAPAN gagal di Melaka, golongan ini menghalakan serangan serta menyalahkan Anwar selaku Pengerusi HARAPAN.

“Namun sekiranya kemenangan dicapai golongan ini akan mendakwa kemenangan tersebut adalah hasil usaha mereka,’ katanya.