Categories
AGENDA NASIONAL

Kenakan kos pencemaran, tingkat kualiti air sungai

Oleh NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM, 26 NOV: Rakyat bakal menikmati air Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang lebih bersih menerusi Projek Peningkatan Kualiti Air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata pelaksanaan projek tertumpu kepada lembangan sungai utama negeri ini sekali gus mengurangkan pencemaran dan mengelakkan gangguan bekalan air.

Menerusi projek berkenaan Kerajaan Negeri akan menggunakan kaedah mengenakan kos pencemaran kepada pencemar yang bertanggungjawab.

“Projek Peningkatan Kualiti Air bagi lembangan sungai utama negeri Selangor dilaksanakan dengan bertunjangkan kepada objektif membangunkan kaedah kawalan pencemaran secara fizikal di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi meningkatkan kualiti air.

“Kesan positif daripada usaha ini berkurangnya pencemaran sungai terutamanya di muka sauk dan gangguan bekalan air yang minimum selain daripada peningkatan kualiti air sungai dan bekalan sumber air bersih yang mapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata bagi mengurangkan pelepasan beban pencemaran daripada premis berlesen, kerajaan negeri akan menguatkuasakan caj pemulangan air bagi mencapai Polisi Pelepasan Sifar.

“Dasar ini bermakna semakin tinggi kuantiti pelepasan beban pencemaran maka semakin tinggi caj yang akan dikenakan,” ujarnya.