Categories
AGENDA NASIONAL

Kes bunuh Zulfarhan: Enam penuntut UPNM didapati bersalah

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesemua tertuduh melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh.

“Dengan ini kamu berenam dengan niat bersama dan dengan persubahatan tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada si mati (Zulfarhan Osman) tanpa niat membunuh,” kata hakim itu.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Sementara itu, enam tertuduh itu bersama 12 rakannya didapati bersalah mencederakan Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.

Kesemua mereka yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Mahkamah berhenti rehat bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujahan mitigasi berhubung keputusan itu.

-BERNAMA